Hari Terbuka K2K
Hari Terbuka K2K ialah salah satu alat K2K untuk menggerakkan komuniti perumahan awam untuk meraikan kebersamaan dan bersatu-padu sebagai satu komuniti.
Pengenalan

Pada 17 Disember 2023 (Ahad), Hari Terbuka K2K dijalankan di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang 1, di ruang antara Blok A, B dan C. Berlangsung selama empat jam, dari 8:30 pagi hingga 12:30 tengah hari, sekitar 650 orang penduduk mengambil bahagian. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Petaling Jaya, YB Tuan Lee Chean Chung.

Pelbagai aktiviti telah dianjurkan untuk menggalakkan penyertaan komuniti dan meningkatkan semangat mereka.

Bengkel Seni
Bengkel seni telah dianjurkan untuk menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat. Di PPR Lembah Subang 1, dua bengkel seni telah dijalankan. Secara keseluruhan, sekitar 100 orang penduduk telah mengambil bahagian dalam bengkel ini.

Bengkel yang pertama bertemakan batik, suatu seni yang amat dekat dengan warisan dan sejarah Malaysia. Dihoskan Ayayu Batik, bengkel ini disertai banyak anak muda bersama ibu bapa mereka, menunjukkan semangat untuk mempelajari bentuk seni tradisional ini.

Selain itu, terdapat juga bengkel reka bentuk baju-T dan beg jinjing dengan CreaTee, yang menjadi saluran peserta pelbagai lapisan umur untuk melahirkan kreativiti mereka dengan membuat reka bentuk yang unik.
Klinik Futsal

Dengan kerjasama Persatuan Sukan Rekreasi Malaysia (lebih dikenali sebagai Padang Bola Sepak) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), suatu klinik futsal telah dianjurkan untuk kira-kira 25 orang peserta. Klinik ini dipimpin oleh jurulatih FAS yang membahagikan para peserta mengikut umur untuk sesi latihan. Sesi ini menumpukan pada kemahiran asas, latih tubi dan perlawanan persahabatan.

Klinik ini berakhir dengan satu sesi rapat mesra dengan salah seorang bekas pemain FAS, Mohd Nasriq Baharom, yang berkongsi pengetahuan dan pemahamannya dengan para peserta.

Permainan Bebas Sukan Rekreasi

Persatuan Sukan Rekreasi Malaysia (lebih dikenali sebagai Padang Bola Sepak), dengan kerjasama Decathlon Malaysia, telah menghimpunkan beberapa aktiviti sukan rekreasi yang bertujuan menggalakkan perlawanan persahabatan dan permainan interaktif untuk komuniti PPR Lembah Subang 1. Aktiviti yang disediakan termasuk sukan memanah mata panah lembut, bola keranjang kanak-kanak dan badminton, memberikan pilihan kepada semua peserta.

Pameran Bomba

Hari Terbuka K2K ini turut disokong oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA). Jabatan tersebut membawa kereta bomba mereka sebagai pameran untuk menunjukkan peralatan memadam kebakaran dan demonstrasi latihan kebakaran. Latihan ini penting bagi melatih dan menyiapkan anggota bomba dan masyarakat untuk memberikan respons efektif terhadap kecemasan kebakaran sebenar.

K2K Idol
Program K2K Idol ialah pertandingan menyanyi yang diperkenalkan sebagai suatu intervensi kesihatan mental dan juga suatu wadah untuk mencari bakat tersembunyi dalam komuniti perumahan awam. Di setiap Hari Terbuka K2K perumahan awam, program K2K Idol ini turut dilancarkan dan akan berjalan selama dua minggu.

Uji bakat diadakan pada Hari Terbuka. Mentor yang dilantik untuk PPR Lembah Subang 1, Lan Solo, turut membuat persembahan pada hari tersebut dan mengajak para penduduk menyahut cabaran menyertainya.

Untuk maklumat lanjut mengenai proses pertandingan dan senarai pemenang, sila lihat laman K2K Idol.
Pameran K2K
Sebagai sebahagian daripada pemetaan sosial K2K, perbincangan kumpulan berfokus (FGD) dijalankan untuk merancang dengan teliti isu utama PA Seri Selangor sebelum Hari Terbuka. Untuk mengesahkan maklum balas yang dikumpul, papan pameran diletakkan sebagai usaha mendapatkan lebih banyak responden daripada isi rumah berlainan. Dengan pemahaman yang diperolehi, program bersasar dan berkesan dapat direka bentuk. Sejumlah 86 isi rumah PA Seri Selangor terlibat dalam aktiviti pemetaan sosial ini.
Saringan Kesihatan
Dengan kerjasama ProtectHealth Corporation, suatu subsidiari Kementerian Kesihatan Malaysia, satu aktiviti saringan kesihatan dijalankan untuk penduduk PPR Lembah Subang 1. Selain daripada pemeriksaan kesihatan, aktiviti ini juga bertujuan mengiklankan Skim PeKa B40 kepada penduduk yang layak bagi mendapatkan faedah yang lebih besar.
Kelab Intan Payung (KELIP)
Bersama Thrive Well, K2K melancarkan suatu program yang dipanggil Kelab Intan Payung (KELIP) di PPR Lembah Subang 1, bertujuan meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak melalui pemerkasaan ibu bapa. Thrive Well telah membuka reruai pada Hari Terbuka untuk berkongsi inisiatif mereka dan menjalankan beberapa aktiviti yang melibatkan keluarga.
Organisasi Berasaskan Komuniti (OBK)

Program ini mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan para penduduk, melalui Badan Tindak Balas Lembah Subang 1, ahli jawatankuasa surau dan penduduk lain yang bersama-sama bergotong-royong menyediakan makanan dan minuman untuk majlis ini. Di sepanjang persediaan Hari Terbuka, banyak mesyuarat diadakan dengan organisasi komuniti bagi memastikan acara dapat berjalan lancar.

Bersama membentuk bandar berdaya huni.
K2K, dipimpin oleh Think City, meningkatkan kualiti hidup di perumahan awam di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Dengan berkolaborasi bersama komuniti setempat, K2K mengatasi cabaran dalam pemberdayaan masyarakat, pengurusan bersama, penjanaan pendapatan, dan reformasi dasar. Matlamat K2K adalah untuk mencipta persekitaran kehidupan yang berkembang, inklusif, dan mampan.
Ditubuhkan pada tahun 2009 dan merupakan sebuah organisasi impak yang memberikan khidmat nasihat dasar bandar, projek bandar, dan pembangunan usaha dengan Matlamat Pembangunan Mampan sebagai panduan kami.

© Copyright 2025 Think City Sdn. Bhd. All Rights Reserved. Registration Number: 200901026839 (869941-P). 
Ooops!
Generic Popup2